Awasi
Tanda-Tanda Strok
- sumber : Utusan Malaysia Online -
Oleh ROSLAH OTHMAN
Rasa lemah atau kebas secara tiba-tiba pada muka, lengan
serta di sebelah bahagian badan adalah antara gejala
seseorang itu berkemungkinan diserang strok atau angin ahmar.
Selain itu, penglihatan juga menjadi kabur secara tiba-tiba
pada sebelah atau kedua -dua mata.
Tanda-tanda amaran strok
Menurut Perunding Neurologi di salah sebuah hospital di ibu
negara, Dr. Lee Moon Keen, strok tidak terjadi begitu sahaja
kerana lazimnya terdapat tanda-tanda amaran seperti yang
dijelaskan.
Dengan mengenalpasti tanda-tanda ini dan bertindak segera
daripada segi perubatan, seseorang individu dapat
mengelakkan strok yang akan berlaku ataupun mengurangkan
tahap keseriusannya.
Di negara ini katanya, strok adalah pembunuh yang keempat
terbesar selepas kanser dan penyakit jantung.
Strok juga penyebab utama ketidakupayaan yang teruk, di mana
kos merawat pesakit juga adalah tinggi dan rawatan pemulihan
bagi pesakit yang terselamat daripada maut mengambil masa
yang panjang serta mahal.
Menerangkan lebih lanjut mengenainya, terdapat dua jenis
serangan strok iaitu, strok iskemia dan strok berdarah.
Strok iskemia berlaku apabila darah beku menyekat arteri
daripada membekalkan darah ke otak.
Biasanya strok iskemia adalah akibat daripada pengumpulan
kolestrol dan puing lain di dalam arteri semenjak
bertahuntahun lamanya.
Strok jenis tersebut mungkin disebabkan oleh trombosis
serebrum, iaitu apabila darah beku (tombus) terbentuk di
dalam arteri utama yang menuju ke otak, menghalang bekalan
darah.
Manakala embolisme serebrum berlaku apabila darah beku
terbentuk di dalam salur darah di tempat lain dalam badan,
contohnya di leher atau di jantung dan bergerak dalam aliran
darah ke otak.
Menerangkan mengenai strok berdarah katanya, ia terjadi
apabila salur darah di dalam otak atau di sekelilingnya
pecah dan menyebabkan pendarahan.
Penyakit tekanan darah tinggi yang lama dan tidak dirawat
memberi memberikan tekanan pada dinding arteri, menyebabkan
meningkatnya risiko arteri itu pecah dan seterusnya berdarah.
Strok berdarah kemungkinan disebabkan oleh pendarahan
intraserebrum, iaitu apabila salur darah pecah di dalam otak.
Manakala pendarahan subraknoid, iaitu apabila salur darah di
permukaan otak berdarah dan darah tersebut meresap ke dalam
kawasan di antara otak dan tengkorak yang dikenali sebagai
ruang subarakanoid.
Menurut Dr. Lee, strok merupakan masalah kesihatan mengancam
nyawa yang paling mudah dicegah.
Oleh itu, amat penting bagi seseorang mengetahui dan
memahami faktor risiko yang boleh menyebabkan strok.
Sesetengah faktor risiko boleh diubah dan sesetengahnya
tidak.
Amat penting katanya, mengingati bahawa mempunyai satu atau
lebih faktor risiko yang boleh diubah meningkatkan risiko
serangan strok.
Kawalan yang lebih baik terhadap faktor risiko yang boleh
diubah dapat mengurangkan risiko strok dengan ketara. Antara
faktor yang dikaitkan dengan strok termasuk tekanan darah
tinggi, kencing manis, kolestrol tinggi, perokok, diet tidak
seimbang dan stres.
Bagaimana strok didianogsis?
Kata Dr. Lee, doktor akan melakukan dianogsis klinikal
dengan cara mendapatkan sejarah perubatan pesakit diikuti
dengan pemeriksaan fizikal.
Selepas itu doktor akan melakukan ujian bersesuaian yang
diperlukan untuk merawat pesakit dengan berkesan. Pengimejan
menggunakan imbasan tomogafi berkomputer (CT) dan imbasan
gema bermagnet (MRI) membantu doktor merawat pesakit.
Menjelaskan mengenai kesan strok kepada pesakit kata beliau,
ia adalah pelbagai. Keupayaan khusus yang akan hilang atau
terjejas akibat strok bergantung pada berapa teruknya otak
rosak dan di bahagian mana di otak strok berlaku.
Katanya, otak adalah organ yang kompleks yang sangat hebat
dan setiap kawasan di dalam otak bertanggungjawab terhadap
fungsi atau keupayaan tertentu.
‘‘Oleh sebab otak mengawal kesemua fungsi badan, maka strok
mempunyai potensi menjejaskan semua aktiviti seseorang,”
ujarnya.
Ditanya pula tentang sejauh mana kepentingan melakukan
pemulihan segera terhadap mangsa strok, beliau menegaskan
pemulihan segera adalah amat penting dimana setiap mangsa
mesti mendapatkan rawatan pemulihan secepat mungkin.
Katanya, semakin cepat terapi pemulihan dimulakan, semakin
cepat otak mempelajari semula pergerakan yang normal dan
kelewatan akan menyukarkan proses pemulihan.
Terapi pemulihan meliputi fisioterapi, terapi cara kerja,
terapi pertuturan dan kaunseling.
Dr. Lee juga menegaskan risiko strok boleh dicegah sekiranya
seseorang itu mengamalkan gaya hidup sihat. Antaranya
melakukan aktiviti fizikal, pengambilan makanan yang sihat,
tidak merokok dan sentiasa melakukan pemeriksaan tekanan
darah, selain dapatkan khidmat doktor sebelum mengambil pil
kontraseptif.
Beliau turut memberi nasihat jika seseorang itu pernah
diserang strok, amat penting membuat pemeriksaan perubatan
secara tetap supaya tekanan darah, paras kolestrol dan berat
badan dapat diawasi.